Leicester, Bornemouth seri 0-0

Leicester, Bornemouth seri 0-0

LEICESTER, 3 Jan (Agensi) – Leicester terlepas penalti sebelum terikat 0-0 di tempat sendiri dengan Bournemouth yang beraksi dengan 10 pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan Bournemouth, Simon Francis dibuang padang selepas 57 minit permainan kerana menjatuhkan Jamie Vardy di dalam kotak penalti.

Riyad Mahrez mengambil sepakan penalti tetapi penjaga gol Bournemouth, Artur Boruc bertindak melayangkan badan ke penjuru dan menepis bola keluar dengan dua tangannya.

Leicester tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga Arsenal, namun pengurus Claudio Ranieri masih gembira dengan apa yang disaksikannya.

“Kami mahu menang, tetapi ia tidak selalu menjadi,” kata Ranieri. “Satu mata sudah OK dan kami kini mempunyai 40 mata yang mana sasaran utama kami musim ini.”

Bournemouth menjarakkan kedudukan kepada empat mata di atas zon penyingkiran, tetapi pengurus Eddie Howe tidak berpuas hati dengan kad merah yang diberikan kepada Francis.

“Saya tidak percaya ia adalah penalti, Francis melakukan terjahan ke atas bola,” kata Howe.

“Sekali lagi, saya memberikan kredit kepada pemain saya untuk semua yang telah mereka berikan hari ini (malam tadi).”