Leicester City enggan leka

Leicester City enggan leka

LONDON, 15 April (AFP) – Pemain Leicester, Danny Drinkwater menegaskan tidak akan ada perubahan dalam pendekatan kelab mereka mendekati kejayaan luar biasa Liga Perdana Inggeris dan kelab Midlands ini akan dinobatkan sebagai juara England sebelum musim ini berakhir.

Mereka memimpin dengan tujuh mata di depan pasukan tangga kedua Tottenham Hotspur dan melayan West Ham di laman sendiri hujung minggu ini ketika mereka hanya memerlukan tiga kemenangan daripada baki lima aksi untuk melengkapkan kejayaan yang menakjubkan.

Pengurus Foxes Claudio Ranieri telah memupuk ikatan yang kuat dalam skuad di Stadium King Power, tetapi Drinkwater – salah seorang pemain Leicester yang mendapat pengiktirafan England selepas aksi menarik musim ini – berkata tidak ada misteri besar di sebalik perpaduan pasukan.

“Tidak ada rahsia untuk keakraban di bilik persalinan, ia hanya mengenai sekumpulan pemuda yang dapat bergaul bersama-sama,” demikian kata bekas pelatih Manchester United berusia 26 tahun itu.

“Kami semua bersedia untuk bekerja keras dengan satu sama lain di atas padang dan ia menunjukkan bagaimana mendapat keputusan bagus,” katanya yang menjaringkan gol bersama Jamie Vardy dalam kemenangan 2-0 ke atas Sunderland sebelum ini.

“Empat tempat teratas sudah terjamin dan itu amat hebat,” kata pemain tengah itu. “Ramai pemain mungkin tidak sedar dan hanya selangkah lagi untuk mendekati impian utama kami.

“Orang bercakap mengenai tiga kemenangan diperlukan sekarang, tetapi satu perkara yang diajar kepada saya di Manchester United adalah untuk terus memberi tumpuan kepada tugas.” Kami mengambil serius setiap perlawanan dan saya tidak melihat ia berubah bila-bila masa.”

Tiga pemain Leicester: Vardy, Riyad Mahrez dan N’Golo Kante membentuk 50 peratus daripada enam senarai pendek untuk anugerah Pemain Terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional tahun ini.

Trio berkenaan dijadualkan bersedia untuk beraksi menentang West Ham yang berusaha untuk memulihkan cita-cita empat slot teratas selepas kekecewaan suku akhir Piala FA kepada Manchester United di Upton Park pada pertengahan minggu.

ARTIKEL YANG SAMA