Leicester City kempunan tiga mata

Leicester City kempunan tiga mata

BIRMINGHAM, 17 Jan – Leicester City kembali merampas kedudukan pendahulu liga selepas terikat 1-1 dengan Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeri (EPL), awal pagi semalam.

Namun mereka terlepas peluang meraih tiga mata selepas Riyad Mahrez gagal menyempurnakan penalti buat pasukan The Foxes itu.

Pengendali Leicester, Claudio Ranieri, menyatakan kekesalannya selepas anak buahnya gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang ketika menguasai permainan pada separuh masa pertama yang menyaksikan mereka mendahului 1-0 menerusi jaringan Shinji Okazaki sebelum dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Aly Cissokho.

Itu ialah penalti ketiga yang gagal disempurnakan oleh Mahrez pada musim ini.

Dan ternyata Villa masih lagi bersemangat pada aksi terbabit dan segar daripada kemenangan menundukkan Crystal Palace, 1-0, tempoh hari, berjaya mengikat kedudukan menerusi pemain gantian, Rudy Gestede pada minit ke-76.

Pemain Leicester City Shinji Okazaki cuba dihalang oleh pemain Aston Villa. - Reuters
Pemain Leicester City Shinji Okazaki cuba dihalang oleh pemain Aston Villa. – Reuters

“Dia nampak sedih ketika digantikan namun dia masih pemain pilihan kami untuk mengambil sepakan penalti.

“Memang dia gagal menyempurnakan peluang itu tetapi apa yang penting ialah bagaimana dia mahu memperbaiki tekniknya itu.

“Kesilapan dalam bola sepak itu adalah perkara normal tetapi kesedaran anda untuk memperbaiki kesalahan anda, itu lebih penting,” kata Ranieri.

Walaupun hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga, Ranieri masih lagi gembira dengan prestasi ditunjukkan pasukannya itu sekalipun Jamie Vardy terlepas peluang keemasan di hadapan gol yang sepatutnya boleh memberikan mereka tiga mata.

“Sasaran kami ialah 40 mata. Sekarang kami sudah mengutip 39 mata dan kalau boleh, kami mahukan lebih. Saya tahu ianya tidak mudah tetapi kenapa tidak?,” katanya.

“Sungguh rugi untuk tidak memenangi perlawanan itu memandangkan kami menguasai perlawanan. Villa turut memberi asakan yang baik namun kita terlepas dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

“Tetapi inilah bola sepak jadi walaupun satu mata, saya tetap terima keputusan ini,” katanya. – Reuters