Leicester hanya sasarkan 40 mata

Leicester hanya sasarkan 40 mata

HULL, 12 Ogos – Selepas menyaksikan pasukan mereka menamatkan saingan di puncak liga pada Mei lalu, peminat Leicester City kini berdebar adakah kelab itu mampu mengulangi kejayaan Liga Perdana kali kedua.

Pengurus Claudio Ranieri bagaimanapun gembira menolak pandangan yang mengatakan peluang Foxes untuk merangkul kejuaraan berturut-turut adalah di luar kawalan.

Menjelang perlawanan pembukaan musim ini menentang Hull City pada esok, pengurus dari Itali itu menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan peluang mereka.

“Pasukan besar bersedia untuk bertarung bagi merebut gelaran dan kami bersedia untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya.

“Tetapi kini kami tahu ia adalah berbeza sama sekali. Musim lalu kami melakukan sesuatu yang sukar dipercayai tetapi kini pasukan besar sudah kembali, saya pasti.

Ranieri (kiri) mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 mata musim ini. – AFP
Ranieri (kiri) mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 mata musim ini. – AFP

“Kini mereka perlu bertarung. Sasaran kami adalah 40 mata, kita lihat apa akan terjadi. Sudah tentu (kelab besar) lebih kuat kerana mereka tidak boleh membuat kesalahan untuk tahun akan datang.

“Mereka tewas satu musim dan dalam putaran pasukan besar ia boleh terjadi tetapi ia hanya terjadi sekali dalam seumur hidup.”

“Saya benar-benar ingin tahu. Semua dunia ingin tahu (mengenai) apa yang akan berlaku kepada Leicester. Saya rasa para pertaruh perlu menaikkan taruhan kepada 6,000-1 sekarang.

“Memang mustahil. Kali ini lebih sukar berbanding musim lalu. Lebih mudah untuk ET datang ke Sarkas Piccadilly!”

Skuad Ranieri semuanya cukup cergas untuk perjalanan ke Humberside, dengan Riyad Mahrez dijangka memulakan aksi pembukaan musim bersama rakan-rakan The Foxes.

Masa depan pemain sayap dari Algeria menjadi buah mulut peminat dan pemerhati bola sepak dengan spekulasi bertiup kencang di Perancis mendakwa beliau berminat untuk menyertai Arsenal. – AFP