Leicester ikat Mendy empat tahun

Leicester ikat Mendy empat tahun

LEICESTER, 3 Julai – Juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City mengikat bekas pemain bawah 21 tahun (B-21) Perancis, Nampalys Mendy dari Nice dengan kontrak empat tahun, umum kedua-dua kelab berkenaan, hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu yang membantu Nice menamatkan saingan Ligue 1 di tempat keempat musim lalu menandatangani kontrak yang nilainya tidak didedahkan tetapi dilaporkan bernilai 16 juta euro.

“Saya sangat gembira datang ke Leicester City. Pasukan sedang menikmati kejayaan yang hebat musim lalu dan adalah baik untuk berada di sini.

“Bagi saya, saya mahu beraksi pada tahap ini. Saya suka saingan Liga Perdana Inggeris dan saya mengikuti perkembangan setiap perlawanan.

“Ia menampilkan corak permainan pantas dan lebih kepada fizikal. Saya mahu mendedahkan diri saya dengan liga ini,” kata Mendy dalam laman web rasmi Leicester.

Mendy yang bermain 110 perlawanan dalam saingan Ligue 1 bersama Nice pernah bekerja di bawah bimbingan pengurus Leicester, Claudio Ranieri ketika di Monaco dan menjadi pemain ketiga ditandatangani kelab berkenaan selepas penjaga gol Jerman, Ron-Robert Zieler dan pertahanan Sepanyol, Luis Hernandez. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA