Leicester kukuhkan kedudukan

Leicester kukuhkan kedudukan

LONDON, 20 Mac (AFP) – Leicester City berada di landasan tepat untuk merangkul gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini apabila Riyad Mahrez menyumbatkan gol kemenangan ketika menewaskan Crystal Palace 1-0, malam tadi sekali gus memiliki kelebihan lapan mata di takhta liga dengan saingan berbaki tujuh perlawanan.

Penghuni tangga ketiga, Arsenal ketinggalan 11 mata di belakang dengan baki satu perlawanan di tangan apabila kembali bangkit untuk menewaskan Everton 2-0 manakala Tottenham Hotspur berpeluang merapatkan jurang kepada lima mata andai menang ke atas Bournemouth malam ini.

Kira-kira 3,000 penyokong Leicester melaungkan ‘Kita akan memenangi kejuaraan liga’ sebaik tamat perlawanan yang menyaksikan pasukan kesayangan mereka mengatasi Palace di Selhurst Park.

Bagaimanapun, pengurus Leicester, Claudio Ranieri mengulangi pendiriannya betapa mereka masih bukan pasukan pilihan untuk muncul juara.

“Saya fikir sekarang kami semakin hampir untuk layak ke Liga Juara-Juara. Ini adalah pencapaian yang hebat tetapi ia perlu dihadapi satu demi satu.

Aksi Riyad ketika menjaringkan gol pada perlawanan menentang Crystal Palace di Selhurst Park. - Reuters
Aksi Riyad ketika menjaringkan gol pada perlawanan menentang Crystal Palace di Selhurst Park. – Reuters

“Bunyinya sangat menarik apabila penyokong kami menyanyi lagu yang sangat positif tetapi kami perlu kekal tenang,” katanya.

Ranieri turut menambah, anak buahnya memerlukan kelebihan 18 mata bagi menjamin kedudukan mereka bergelar juara liga.

Sementara itu, jurulatih Palace, Alan Pardew meramalkan Leicester berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan liga berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Kamu boleh lihat mereka bermain dengan penuh keyakinan dan pasukan mereka mempunyai keseimbangan. Mereka akan menjadi sangat sukar untuk dikejar. “Mereka berhak untuk muncul juara liga,” kata Pardew.

Dalam perlawanan lain, Cesc Fabregas menjaringkan dua gol penyamaan, kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-89, ketika West Ham United dihalang dari melonjak ke tangga keempat dalam keputusan seri 2-2 di Chelsea.

Keputusan itu membolehkan pasukan kendalian Slaven Bilic di tangga kelima, satu mata di bawah Manchester City, yang akan menjadi tuan rumah kepada Manchester United dalam perlawanan hari ini.