Lelaki 91 tahun didakwa seludup dadah

Lelaki 91 tahun didakwa seludup dadah

SYDNEY, 11 Ogos – Pihak berkuasa Australia telah mendakwa seorang lelaki Sydney berusia 91 tahun kerana mengimport kokain yang disembunyikan sebagai sabun, ketika mereka memberi amaran kepada para pelancong hari ini supaya tidak menjadi pembawa dadah yang tidak disengajakan.

Polis persekutuan berkata lelaki itu didakwa pada bulan Julai berhubung kokain seberat lebih 4.5 kilogram yang dikatakan dibawa masuk ke Sydney dalam bagasinya dari India.

“Pemeriksaan ke atas bagasi lelaki itu menemukan 27 pakej sabun,” menurut kenyataan polis dan Pasukan Sempadan Australia. “Ujian berdasarkan andaian ke atas sabun menunjukkan bacaan bagi kokain.” Lelaki berusia itu muncul di mahkamah tempatan Sydney hari ini, memberitahu para pemberita di luar bahawa dia telah dipergunakan, lapor Australian Associated Press.

Bagaimanapun pemangku penolong pesuruhjaya Wayne Buchhorn memberi amaran bahawa para pelancong boleh didakwa meskipun mereka tidak menyedari telah membawa dadah ke negara itu.

“Mendakwa tidak mengetahui dadah tersembunyi di dalam bagasi anda tidak secara automatik bermakna anda tidak akan berdepan dakwaan jenayah,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA