Lelaki akui curi peti besi barangan kemas bintang China

Lelaki akui curi peti besi barangan kemas bintang China

COPENHAGEN, 9 Dis – Seorang lelaki warga Poland semalam mengaku mencuri peti besi yang penuh dengan barang kemas, jam dan wang tunai bernilai kira-kira $625,000 dari bintang televisyen China, Liu Tao, selepas memecah masuk ke dalam bilik hotel Copenhagen tempat bintang itu menginap.

Lelaki berusia 33 tahun itu menggunakan ‘alat logam’ untuk memecah masuk ke dalam bilik di First Hotel Kong Frederik di Copenhagen sebelum pergi bersama peti besi itu, polis Copenhagen mengesahkan kepada AFP.

Pada perbicaraan penahanan lelaki itu berkata dia ‘sangat malu’ dengan apa yang telah dilakukannya dan dia tidak mengetahui siapa yang menginap di bilik itu.

Mengaku bersalah, dia mengatakan wang tunai itu kurang 1,900 kroner dari yang dinyatakan dalam pendakwaan.

Lelaki itu diberkas di pelabuhan selatan Rodbyhavn ketika dia bersedia untuk menaiki sebuah feri menuju Jerman.

Liu berada di Denmark untuk bekerjasama dengan jenama kasut Denmark, Ecco yang mana dia telah membuat promosi kasut itu di China.

Barang kemas dan jam tangan itu ‘bukanlah sesuatu yang digunakannya dalam sesi gambar,” jurucakap wanita Ecco memberitahu AFP. “Dia sangat terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial,” tambahnya lagi. – AFP