Lelaki bakar masjid Florida ditahan

Lelaki bakar masjid Florida ditahan

FORT PIERCE, Florida, 15 Sept – Lelaki Florida berusia 32 tahun telah diberkas dan berdepan dengan tuduhan jenayah atas membakar dengan sengaja dan jenayah benci yang mengakibatkan kerosakan teruk pada sebuah masjid yang dikunjungi oleh lelaki bersenjata kelab malam Orlando, Omar Mateen, pihak berkuasa mengumumkan semalam.

Joseph Michael Schreiber diberkas tanpa sebarang insiden berlaku tengah hari semalam dan disoal siasat oleh para penyiasat yang menyiasat kejadian kebakaran lewat Ahad lalu di Pusat Islam Fort Pierce, menurut Major David Thompson dari Pejabat Syerif Wilayah St Lucie.

Thompson memberitahu sidang media bahawa Schreiber ditahan di jalan raya di Fort Pierce oleh pihak berkuasa yang bertindak setelah menerima maklumat dari anggota masyarakat dan dibantu oleh video pengawasan yang diambil dari masjid dan tempat lain.

Menurutnya dakwaan membakar dengan sengaja disertai dengan penambahan jenayah benci di bawah undang-undang Florida, boleh membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun. Thompson berkata para detektif masih menyoal siasat Schreiber petang semalam dan dia tidak menyatakan jika Schreiber mempunyai peguam.

Gambar yang disiarkan oleh Jabatan Penjara Florida menunjukkan Joseph Michael Schreiber yang ditahan di Fort Pierce, kelmarin. – AP
Gambar yang disiarkan oleh Jabatan Penjara Florida menunjukkan Joseph Michael Schreiber yang ditahan di Fort Pierce, kelmarin. – AP

Kebakaran bermula lewat Ahad lalu pada ulang tahun ke-15 serangan ganas 11 September. Kebakaran juga bertepatan dengan cuti hari raya Aidiladha. Tiada sesiapa tercedera dalam kebakaran itu, yang mengakibatkan lubang sebesar 10-10 kaki pada bumbung di belakang bangunan utama masjid dan menghitamkan atapnya yang diselaputi jelaga.

Thompson berkata waran geledah dikeluarkan bagi penggeledahan di rumah Schreiber, yang mana para penyiasat dilaporkan menemui bukti berkaitan pembakaran sengaja, dan juga pernyataan anti Islam di media sosial.

Wilfredo Amr Ruiz, jurucakap Majlis Perhubungan Islam-Amerika Florida berkata Schreiber “jelas tidak mengetahui tentang penglibatan usaha masyarakat kami dan saudara-saudara kami, bukan hanya di Florida tetapi di seluruh negara.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA