Lelaki Bangladesh dipenjara atas tuduhan cubaan rogol

Lelaki Bangladesh dipenjara atas tuduhan cubaan rogol

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan cubaan rogol dalam kejadian pada Oktober 2014.

Hakim Pengiran Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman mensabitkan Sahidul Malik berusia 35 tahun selepas perbicaraan atas dakwaan melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita warga penduduk tetap berusia 56 tahun di kawasan lorong dewan snuker Stadium Negara Hassanal Bolkiah antara jam 10:40 pagi hingga tengah hari.

Dalam percubaan rogol pada 17 Oktober 2014, tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

pg06_160219_mahkamah logo2

Kesalahan mengikut 376(2) ialah hukuman pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun, dan tidak kurang daripada 12 kali sebatan manakala Seksyen 511 memperuntukkan mana-mana tempoh pemenjaraan tidak boleh melebihi satu setengah dari tempoh paling lama yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili Peguam Bela, Haji Mohd Rozaiman bin Haji Abdul Rahman.