Lelaki berisiko kanser payudara

Lelaki berisiko kanser payudara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Kanser payu dara hanya berlaku dalam kalangan wanita yang sudah berumur dan bukannya wanita yang muda serta kanser payudara hanya berlaku dalam kalangan kaum wanita sahaja merupakan antara mitos mengenai kanser payudara yang salah.

Tanggapan itu amat salah kerana di Negara Brunei Darussalam, kanser payudara kebanyakan berlaku dalam kalangan wanita premenopausal dan kira-kira 20 peratus adalah kalangan wanita dalam usia yang masih boleh hamil (child bearing age), di mana peringkat usia yang sering dikesan adalah di antara 35 hingga 45 tahun dengan pesakit termuda yang pernah dikesan di Brunei hanya berusia 18 tahun.

Di samping itu juga, kaum lelaki harus menyedari bahawa kanser payudara tidak hanya berlaku dalam kalangan wanita sahaja tetapi juga dalam kalangan lelaki walaupun amat jarang sekali tetapi satu peratus daripada mereka yang menghidap kanser payudara adalah lelaki.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser payudara dan kaedah pemeriksaan diri, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei dengan kerjasama IA Saloon akan menganjurkan Ceramah Kesedaran Kanser Payudara di IA Saloon, Mall, Gadong pada 7 Oktober nanti.

Ceramah bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2016 yang membawa tema ‘Mencegah Kanser Payudara, Lakukan Pemeriksaan’ (Prevent Breast Cancer, Get Tested) itu akan bermula dari pukul 10:15 pagi hingga 11:30 pagi.

Ceramah percuma itu menyasarkan seramai 200 orang jemputan terdiri daripada ahli-ahli Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli jawatankuasa Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei, bekas penghidap kanser payudara serta pelanggan-pelanggan IA Saloon.

Ia bermatlamat untuk meningkat kesedaran masyarakat terutamanya kaum wanita mengenai bahaya kanser payudara dan untuk menunjukkan kaedah yang betul bagi melakukan pemeriksaan sendiri.

Orang ramai khususnya wanita harus mengetahui bahawa kanser payudara boleh berlaku tanpa mengira usia dan untuk menghakis tanggapan salah bahawa ia tidak berlaku dalam dalam wanita berusia bawah 40 tahun.

Kesedaran itu adalah amat penting kerana risiko bagi seorang wanita untuk menghidap kanser payudara meningkat dengan meningkatnya usia, oleh itu adalah penting bagi wanita dari peringkat usia muda hingga tua untuk menjalankan pemeriksaan diri sendiri dalam pencegahan apa jua jenis kanser, mengenali tubuh mereka sendiri adalah penting kerana hanya mereka sendiri sahaja yang tahu jika berlaku sesuatu yang luar dari biasa kepada badan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA