Lelaki berpaling dari Korea Utara ditemui di Jepun

Lelaki berpaling dari Korea Utara ditemui di Jepun

TOKYO, 17 Julai – Seorang lelaki yang mendakwa telah melarikan diri dari Korea Utara telah diletakkan di bawah perlindungan polis selepas dia ditemui merayau-rayau di sebuah bandar di barat Jepun, lapor media tempatan hari ini.

Lelaki itu memberitahu polis bahawa dia meninggalkan Korea Utara dengan menaiki kapal minggu lalu, menurut penyiar awam NHK dan Asahi Shimbun, tanpa menjelaskan mengapa dia berada di kapal itu.

Dia kemudian melompat dari kapal dan berenang ke darat di kawasan Yamaguchi dengan berpaut pada kontena plastik yang terapung-apung, menurut laporan berita itu.

Lelaki itu yang namanya tidak didedahkan, ditemui merayau-rayau di bandar Nagato pagi semalam dan kemudian diberi perlindungan oleh pihak polis, tambah mereka.

Kyodo News berkata lelaki itu, yang mengenakan baju kemeja T hitam dan juga seluar panjang, berkata dia dilahirkan pada tahun 1990 tetapi tidak memiliki apa-apa untuk membuktikan identitinya. Selepas disoal siasat, polis akan menyerahkannya ke pihak berkuasa imigresen untuk memastikan sama ada dia adalah pembelot Korea Utara yang perlukan perlindungan dan bantuan, lapor Kyodo.

Seorang jurucakap polis tempatan enggan mengesahkan laporan itu. –AFP

ARTIKEL YANG SAMA