Lelaki bersenjata bunuh 27 Tunisia

Lelaki bersenjata bunuh 27 Tunisia

TUNIS, 26 Jun (AFP) – Kira-kira 27 orang, termasuk pelancong asing, terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di tepi pantai sebuah Hotel Tunisia di resort popular Sousse hari ini, menurut jurucakap kementerian dalam negeri.

Polis masih lagi memeriksa di tempat kejadian di sekitar hotel Imperial Marhaba dan mayat seorang lelaki bersenjata terdampar di tempat kejadian bersama raifal Kalashnikovnya selepas dia ditembak mati dalam berbalas tembakan senjata, menurut sumber keselamatan di tempat kejadian.

Ia adalah serangan terbesar kedua di negara Afrika Utara tahun ini, dan berlaku semasa bulan suci Ramadan.

“Salah seorang penyerang melepaskan tembakan menggunakan Kalashnikov ke atas para pelancong dan warga Tunisia di pantai dekat hotel itu,” kata seorang pekerja hotel di tempat kejadian.

“Ia hanyalah seorang penyerang. Dia seorang pemuda berpakaian seperti dia juga merupakan seorang pelancong.”

Tunisia, yang dianggap sebagai sebuah model peralihan demokratik sejak pemberontakan ‘Arab Spring’ 2011, adalah sebuah negara paling sekular di dunia Arab. Pantai peranginannya dan kelab malam di Mediterranean adalah popular di kalangan pengunjung Eropah.

Tidak ada yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu. Namun jihad Islamis telah menyerang tapak pelancong Afrika Utara sebelumnya, melihatnya sebagai tempat sasaran munasabah kerana cara hidup kebaratan yang terbuka dan toleransi ke atas alkohol.

Enam yang lain cedera, menurut jurucakap kementerian.

Seorang wanita Ireland, Elizabeth O’Brien yang menginap di hotel sebelahnya bersama dua anak lelakinya, mengatakan kepanikan jelas terlihat di pantai itu apabila tembakan senjata meledak.