Lelaki bunuh majikan, bunuh diri

Lelaki bunuh majikan, bunuh diri

PARIS, 23 Dis (AFP) – Lelaki Perancis yang membunuh majikannya dan menyepit kepala majikannya yang dipenggal pada pagar di sebuah kilang gas perindustrian telah membunuh diri dalam sel penjara, menurut pihak berkuasa penjara hari ini.

Yassin Salhi, 35 tahun menggantung dirinya pada batang besi penjara dengan menggunakan cadar katil malam semalam, menurut pihak berkuasa di penjara Fleury-Merogis, di selatan pinggir kota Paris.

Pemandu dan yang juga penghantar telah melaksanakan serangan mengerikan ke atas majikan Herve Cornara di Isere, tenggara Perancis pada Jun lalu, dengan memperlihatkan kepala majikannya itu di luar kilang itu yang dikelilingi bendera Islam.

Dia cuba meletupkan kilang itu tetapi diberkas dan kemudian ditahan reman.

Salhi telah ditempatkan dalam kurungan perseorangan tetapi tidak dianggap berisiko membunuh diri. Dia selalu menolak sebarang motif jenayahnya itu, tetapi pihak pendakwa mendakwa keganasan berkaitan Islam.

Ayah kepada tiga orang anak itu dilahirkan di bandar timur Perancis Pontarlier, berhampiran sempadan dengan Switzerland. Ayahnya berasal dari Algeria dan ibunya mempunyai latar belakang Maghribi.

Salhi menjadi tumpuan pihak berkuasa perisikan pada tahun 2005 dan 2006 kerana dia bergaul dengan sekumpulan orang yang bersekutu dengan Islam radikal, sumber yang mengetahui kes itu memberitahu AFP pada bulan Jun lalu.

Perkhidmatan perisikan menyiasatnya selama beberapa tahun, tetapi tidak membaharui penyiasatan mereka pada tahun 2008.

Dia muncul lagi dalam radar perkhidmatan perisikan dalam tahun 2013 kerana dia bersekutu dengan mereka yang disyaki berkaitan dengan Islam radikal.

Pada ketika itu dia menyimpan janggut dan mengenakan jubah tradisional Afrika Utara dipanggil djellaba.

Perancis dalam langkah berwaspada selepas perintah kecemasan diisytihar selepas serangan di Paris bulan lalu, apabila sekumpulan pelampau Islam membunuh 130 orang.