Lelaki didenda $6,000 atas 2 kesalahan

Lelaki didenda $6,000 atas 2 kesalahan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151105_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun telah dijatuhi denda $6,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap dua kesalahan memiliki rokok yang tidak diisytiharkan pada 2012 dan 2013.

Untuk pertuduhan pertama, Ruslan bin Haji Kunchang dari STKRJ Kampung Lambak Kiri didakwa memiliki 51 paket rokok di kawasan kedai di Jalan Pemancha pada 3 September 2012, kira-kira jam 10:34.

Fakta kes menyebut, defendan ditahan oleh pegawai pencegah kastam yang telah menemui rokok pelbagai jenama di dalam beg kitar semula yang dibawanya.

Defendan mengaku rokok yang dibelinya pada harga $12 sekarton itu miliknya yang dibelinya daripada seorang lelaki bernama ‘Bob’ yang didakwanya pembekal rokok tersebut.

Defendan akan menghubungi pembekal itu, yang kemudian mengirimkan rokok-rokok itu melalui seseorang yang tidak dikenalinya yang tiba dengan bot di kawasan Jalan Kianggeh.

Defendan memberitahu rokok-rokok itu untuk dirinya dan juga untuk dijual pada harga $2 satu paket. Fakta kes menyebut, duit eksais yang seharusnya dibayar untuk kesemua paket rokok itu ialah $255.

Pertuduhan kedua menyebut, defendan didapati memiliki 65 paket rokok di kawasan Bandar pada 7 Mei 2013 sekitar jam 8 pagi.

Defendan mengaku membeli rokok itu pada harga $10 sekarton daripada seorang lelaki bernama ‘Boy’, yang juga didakwanya sebagai pembekal.

Dalam rayuan, defendan memohon kepada mahkamah untuk membayar secara ansuran kerana perlu menyara isterinya.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkannya untuk membayar $250 setiap bulan, bermula 30 November ini hingga habis, dan jika gagal akan berdepan enam bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA