Lelaki dipercayai polis ditahan kerana ancaman bom dalam pesawat

Lelaki dipercayai polis ditahan kerana ancaman bom dalam pesawat

JAKARTA, 4 April (Bernama) – Sebuah pesawat Lion Air yang baru berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Thaha di Jambi, terpaksa berpatah balik dan mendarat cemas, setelah menerima ancaman bom daripada seorang penumpangnya hari ini.

Penumpang terbabit yang dipercayai seorang anggota polis mendakwa membawa bom di dalam begnya ketika pesawat itu berlepas untuk ke Jakarta.

Menurut laporan media dalam talian merdeka.com, setelah pesawat itu mendarat semula di lapangan terbang di Jambi pada pukul 8 pagi, pasukan khas pemusnah bom membuat pemeriksaan di dalam beg penumpang terbabit dan tidak menemui sebarang bahan letupan.

Pengurus Operasi Syarikat Pengurusan Lapangan Terbang, Angkasa Pura II, Gurit Setiawan dipetik sebagai berkata bahawa, penumpang yang ditahan itu dipercayai seorang anggota polis dan memiliki kad pengenalan polis.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa dia hanya bergurau dengan anak kapal berkenaan dan kini ditahan oleh pasukan khas polis di Jambi untuk siasatan lanjut.

Ini adalah kejadian kedua dalam tahun ini seorang anggota polis membuat gurauan kononnya membawa bom di dalam pesawat di Indonesia.

Pada Januari lepas, seorang pegawai polis dari unit forensik di Bali di tahan kerana mengaku membawa bom setelah melepasi pemeriksaan keselamatan dan imbasan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar di Sulawesi Selatan.

Anggota polis itu memberi alasan beliau hanya bergurau dengan pengawal keselamatan lapangan terbang setelah melepasi pemeriksaan keselamatan.