Lelaki disyaki seludup diesel ditahan di Sarikei

Lelaki disyaki seludup diesel ditahan di Sarikei

SARIKEI, 21 Jun (Bernama) – Seorang lelaki tempatan ditahan di Jalan Repok, di sini, malam tadi kerana disyaki menyeludup diesel menggunakan lori yang sudah diubah suai.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 ACP N. Kalai Chelvan berkata lelaki berusia 60 tahun itu ditahan hasil maklumat awam.

Katanya lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pembelian 1,500 liter diesel bernilai RM3,500 yang ditemukan dalam lori itu.

Katanya, lelaki itu dan lori lima tan dengan muatan diesel itu dibawa ke Balai Polis Sarikei dan akan diserah kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Bahagian Sarikei untuk tindakan.