Lelaki Eropah ditahan bantu siasatan

Lelaki Eropah ditahan bantu siasatan

KOTA KINABALU, 9 Jun (Bernama) – Seorang lelaki Eropah berusia 38 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 4.10 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kes pelancong asing berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata lelaki berkenaan ditahan sejurus selepas tiba dari Tawau dan bercadang meneruskan perjalanan ke Filipina.

“Siasatan (awal) mendapati dia berada di Gunung Kinabalu semasa kejadian tetapi dia bukan suspek telanjang. Semasa rakaman gambar, dia berada di bahagian lain gunung tersebut. Dia akan dibebaskan selepas percakapannya dirakamkan,” kata Salehhudin dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, lima pelancong dari negara Eropah bertindak menanggalkan pakaian masing-masing selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu namun perbuatan mereka membangkitkan kemarahan masyarakat di Sabah kerana perlakuan itu bertentangan dengan adat resam tempatan.

Salehhudin berkata pihaknya akan meneliti semua gambar yang dipaparkan di media-media sosial berkaitan insiden berkenaan.