Lelaki Filipina diburu polis

Lelaki Filipina diburu polis

MANILA, 27 Julai – Polis Filipina hari ini berkata mereka sedang memburu seorang lelaki yang dirakam melalui CCTV menembak mati seorang penunggang basikal dalam kejadian insiden keganasan jalan raya di ibu negeri Filipina.

Paparan itu, disiarkan pada TV nasional, menunjukkan seorang pemandu kereta berdepan dengan seorang lelaki berbasikal pada petang Isnin.

Kedua-dua lelaki itu kemudian bertumbuk sesama sendiri sebelum salah seorang daripadanya mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak lima kali dalam jarak dekat, kata pegawai penyiasat Charles John Duran.

“Ia kelihatan seperti satu kes kemarahan jalan raya. Terdapat satu konfrontasi. Penunggang basikal itu mengancing kepala suspek dan suspek kemudian mula beredar. Kemudian dia mengeluarkan sepucuk pistol dari keretanya,” ujar Duran.

Paparan CCTV menunjukkan suspek menembak mati mangsa.
Paparan CCTV menunjukkan suspek menembak mati mangsa.

“Dia menembak (penunggang basikal) itu di kepala dan kemudian melepaskan empat lagi tembakan ketika dia berbaring,” kata pegawai polis itu.

Satu pantulan peluru kemudian terkena seorang wanita 18 tahun berhampiran dan dia ketika ini dalam keadaan kritikal, tambah Duran.

“Terima kasih kepada CCTV, kami tahu siapa penembak itu sekarang,” kata Duran, menambah bahawa suspek itu, dikenali sebagai tentera simpanan, sekarang sedang diburu.

Sistem televisyen litar tertutup telah digandakan di kawasan-kawasan sesak ibu negeri Filipina sejak kebelakangan tahun ini. – AFP