Lelaki Filipina didakwa bunuh wanita

Lelaki Filipina didakwa bunuh wanita

Oleh Siti Hajar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Seorang lelaki warga Filipina, telah didakwa dengan dakwaan membunuh, di Mahkamah Majistret, kelmarin berikutan penangkapannya Jumaat lalu.

Naje Walley Alemania, 37, berdepan satu tuduhan dengan niat mengakibatkan kematian Leila Viana Tungala.

Kejadian dipercayai berlaku pada lewat malam hingga awal pagi 30-31 Disember 2015 di Temburong.

Jika didapati bersalah, defendan boleh berdepan hukuman mati seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 302 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.

Di Mahkamah Majistret, defendan dibawa masuk dengan dirantai dan diiringi pihak berkuasa penguatkuasaan yang menahan defendan pada 1 Januari 2016 kira-kira pukul 1 pagi.

pg06_160104_mahkamah logo

Dakwaan dibacakan kepadanya menerusi seorang penterjemah yang disediakan oleh Kedutaan Filipina.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sharon Yeo memohon reman selama dua minggu daripada mahkamah untuk membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa, dan permohonan itu telah diluluskan.

Defendan akan ditahan di Balai Polis Temburong dan Balai Polis Pusat di ibu negara.

Permohonan itu, jelasnya, adalah berdasarkan tempat jenayah yang terletak di Kampung Puni, Jalan Ujong Jalan di Temburong di mana pihak berkuasa akan menghantar defendan apabila perlu ke pusat siasatan.

Walaupun tarikh untuk penghantaran defendan masih belum ditetapkan, DPP menjelaskan pihak berkuasa memerlukannya “beberapa hari di Bangar.” Satu kenyataan awal telah diambil daripada defendan.

Bedah siasat mayat mangsa dilakukan di samping pengambilan bukti DNA. Pihak berkuasa masih menunggu untuk mendapatkan rekod panggilan telefon.

Sebelum bersurai, defendan meminta untuk mendapatkan peguam bela dan mahkamah memberikan arahan untuk melancarkan permohonan tersebut.

Kes itu akan didengar sekali lagi pada 16 Januari 2016 pukul 2 petang di ibu negara.

ARTIKEL YANG SAMA