Lelaki Filipina dihukum mati

Lelaki Filipina dihukum mati

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki Filipina yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki tempatan pada 2012.

Cyrile Navarro Tagapan didakwa membunuh Abdullah bin Haji Hamid, 61, pada 1 Ogos 2012 di mana mayatnya ditemui di rumahnya di Kampung Rimba pada 9 Ogos 2012.

Tertuduh bagaimanapun hanya mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan lain iaitu mencuri dan menyebabkan kerosakan pada harta benda simati dengan membakar sebahagian dari rumahnya.

“Hukuman mati yang dijatuhkan itu adalah mengikut seksyen 239 Kanun Prosedur Jenayah.

“Hukuman ini akan dibincangkan lagi dalam sebutan semula pada 5 Julai,” kata Hakim Dato Paduka Steven Chong. Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu trak untuk sebuah syarikat tempatan sejak 2012 telah mengenali simati sejak 2010.

Apabila tertuduh memerlukan bantuan kewangan, dia akan pergi ke rumah simati yang menawarkan kepadanya bagi pembayaran perkhidmatan seks.

Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Jasmine binti Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa kes itu adalah di luar keraguan munasabah dan kata-kata pembelaan tertuduh itu tidak dapat dipercayai.

Hakim memutuskan tertuduh telah menggunakan pisau dan menyebabkan kecederaan dalaman pada leher mangsa dan di beberapa bahagian penting badan sehingga menyebabkan kematian. Tertuduh diwakili oleh Peguam Ahmad Zakaria.

ARTIKEL YANG SAMA