Lelaki Filipina tubuh agensi pekerjaan tanpa lesen

Lelaki Filipina tubuh agensi pekerjaan tanpa lesen

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151105_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Akibat menjalankan agensi pekerjaan tanpa lesen dan kebenaran dari Jabatan Buruh, seorang lelaki Filipina dijatuhi denda $1,800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Jose Sison Gangat, 67, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tagalog oleh jurubahasa di hadapan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(2) Perintah Agensi Pekerjaan, 2004 yang membawa hukuman denda tidak melebihi $5,000, penjara bagi tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000, penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Defendan, bagaimanapun, membayar denda itu dan terlepas daripada hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayarnya.

Menurut fakta kes, defendan tiba di negara ini pada November 2014 menggunakan pas melawat dan telah menjalankan agensi ‘Bahroo Employment Agency’ di Kampung Lambak Kiri, Jalan Pasir Berakas. Ketika pegawai penguat kuasa buruh membuat serbuan di agensi terbabit, mereka mendapati defendan menjalankan agensi pekerjaan tanpa lesen. Siasatan mendapati Bahroo Employment Agency tidak berdaftar dengan Jabatan Buruh di negara ini.

Ketika disoal siasat, defendan mengaku menjalankan agensi itu tanpa lesen yang mana dia membekalkan tenaga kerja dan pembantu rumah ke Brunei Darussalam.

Defendan juga didapati telah menggunakan dua agensi pekerjaan yang berdaftar di Jabatan Buruh iaitu Teras Maju Employment dan Ami Yani Employment untuk menguruskan kesemua pas kerja dan visa pekerja.

Siasatan turut mendapati defendan mengenakan pelanggannya $2,000 untuk seorang pembantu rumah Filipina dan $750 untuk seorang pekerja Filipina yang mana dia mendapatkan tenaga pekerja itu daripada Great One International Placement Agency, Filipina.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Buruh, Norizzah Hazirah binti Haji Awang Hussin.

ARTIKEL YANG SAMA