Lelaki godam maklumat pegawai AS ditangkap

Lelaki godam maklumat pegawai AS ditangkap

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Reuters) – Malaysia memberkas seorang lelaki atas dakwaan menggodam maklumat peribadi lebih seribu pegawai-pegawai keselamatan AS dan menyerahkan pangkalan data itu kepada kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria supaya ia boleh menyasarkan individu-individu itu.

Lelaki berusia 20 tahun dari Kosovo itu, yang masuk ke Malaysia pada Ogos 2014 untuk mengikuti pengajian sains komputer dan forensik di sebuah institusi swasta di Kuala Lumpur, akan diserahkan ke AS, menurut polis dalam kenyataannya malam ini.

“Penyiasatan awal mendapati suspek berhubung dengan salah seorang orang kanan kumpulan pengganas IS di Syria untuk menggodam beberapa server yang mengandungi maklumat dan butiran kakitangan dan pasukan keselamatan AS,” menurut polis Malaysia.

“Butiran itu kemudian dipindahkan ke unit operasi kumpulan IS bagi tindakan selanjutnya.”

Jabatan Pengadilan AS berkata lelaki itu, Ardit Ferizi, warga Kosovo dan penggodam yang dikenali, didakwa menggodam maklumat peribadi seramai 1,351 kakitangan tentera AS dan kakitangan persekutuan dan membantu IS.

Ferizi, dipercayai ketua kumpulan penggodam Internet Kosovar dipanggil Kosova Hacker’s Security (KHS) telah menggodam sistem komputer sebuah syarikat AS dan telah mencuri maklumat pengenalan kakitangan (PII) beribu-ribu individu, menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di laman sesawangnya semalam.

Antara Jun dan Ogos 2015 Ferizi dikatakan memberikan PII kepada seorang anggota IS yang mana anggota itu kemudian menghantar melalui twitter dengan tajuk “NEW: US Military AND Government HACKED by Islamic State Hacking Division!” yang mengandungi penghubung kepada dokumen 30 muka surat.

Menurut sebahagian dokumen itu, “kami di dalam sistem e-mel dan komputer kamu, memerhati dan mencatatkan setiap langkah kamu, alamat dan nama kamu ada pada kami.”

Menurutnya maklumat itu akan dihantar kepada para pejuang IS ‘yang nantinya akan menyerang kamu di tanah air kamu sendiri’.

Menurut kenyataan Jabatan Pengadilan AS, “Notis berkenaan dihasratkan untuk menyediakan para penyokong IS (ISIL) di AS dan di tempat lain dengan PII milik kakitangan kerajaan yang tersenarai bagi tujuan menggalakkan serangan pengganas ke atas individu-individu itu.”