Lelaki guna wang palsu diperintah jalani khidmat masyarakat 100 jam

Lelaki guna wang palsu diperintah jalani khidmat masyarakat 100 jam

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160831_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki tempatan untuk menjalani perintah percubaan selama setahun dan khidmat masyarakat selama 100 jam selepas disabit atas kesalahan menggunakan wang palsu $500 pada tahun 2005.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin memutuskan hukuman itu ke atas Mohd Yaakub bin Taib, 52, selepas meneliti laporan hukuman awal tertuduh daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat di mana laporan itu telah membantu mahkamah dalam menentukan hukuman yang paling sesuai untuk tertuduh.

Mohd Yaakub pada 27 Mac lalu didapati bersalah oleh Mahkamah kerana menyerahkan wang palsu berjumlah $500 ketika membeli minyak di Stesen Minyak Roxana, Seria pada 19 Mac 2005.

Peguam Bela Yusuf Halim yang mewakili tertuduh dalam hujahannya pada Mac lalu memohon untuk mahkamah tidak mempertimbangkan kesalahan lampau tertuduh kerana faktor usia di mana tertuduh pada 37 dan 28 tahun yang lalu pernah disabit bagi kesalahan di bawah Seksyen 379 (curi) dan Seksyen 460 (menceroboh).

Dia turut mencadangkan mahkamah untuk menjatuhi perintah percubaan ke atas tertuduh ekoran kes itu lambat dihadapkan iaitu pada 2013, selepas lapan tahun.

Ketika memutuskan hukuman itu, Hakim turut memberi amaran kepada tertuduh, jika dia tidak mematuhi perintah percubaan itu, dia akan dikenakan hukuman mengikut hukuman asal pertuduhan iaitu penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun dan denda.

ARTIKEL YANG SAMA