Lelaki hilang...

Lelaki hilang ketika memancing di Sungai Haji Kuning

TAWAU, 9 Jan – Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar memancing sejak Rabu lalu di perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik di sini. Raiman Abdul Majid, 38, pada mulanya dikatakan memasuki perairan itu bersama beberapa lagi rakannya untuk memancing namun kira-kira pukul 9 malam, lelaki itu yang berasal dari Batu 4, Jalan Apas, telah berpecah daripada kumpulan rakannya semasa memancing.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau Komander Maritim Romli Mustafa berkata berikutan laporan kehilangan yang diterima semalam, satu misi mencari dan menyelamat dijalankan dengan menumpukan kawasan perairan Sungai Haji Kuning sehingga ke sekitar perairan Batuan Unarang, Indonesia.

“Sehingga hari ini, pihak Polisi Sektor (POLSEK) Sebatik Timur memaklumkan bahawa komuniti nelayan di sekitar perkampungan Pulau Sebatik, Indonesia yang keluar memancing pada Jumaat lepas kira-kira 9 pagi, telah menemui bot terapung diperbuat daripada kayu plywood dalam keadaan pecah di kedudukan lebih kurang 17 batu nautika, utara Batuan Unarang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama