Lelaki India yang dikehendaki diberkas di Bali

Lelaki India yang dikehendaki diberkas di Bali

JAKARTA, 26 Okt (AFP) – Seorang pelarian India yang dikehendaki berhubung siri pembunuhan di negaranya telah ditangkap di Indonesia selepas berdekad-dekad melarikan diri, kata polis hari ini.

Bertindak melalui maklumat daripada polis Australia, pihak berkuasa Indonesia telah menahan Rajendra Sadashiv Nikalje hari ini ketika dia tiba di pulau peranginan popular Bali dari Sydney, menurut jurucakap polis Bali, Heri Wiyanto memberitahu AFP.

Nikalje berusia 55 tahun, dipercayai bos penjenayah di India, sudah lama hidup dalam pelarian selama dua dekad, kata Wiyanto, dengan Interpol menandakannya sebagai lelaki yang dikehendaki pada 1995.

“Kami menerima maklumat daripada polis di Canberra kelmarin (Ahad) tentang notis merah bagi seorang pembunuh,” ujarnya kepada AFP.

“Kami menangkap lelaki itu di lapangan terbang kelmarin. Apa yang kami tahu adalah lelaki ini disyaki telah melakukan 15 ke 20 pembunuhan di India.”

Polis Bali sedang bekerjasama dengan Interpol dan pihak berkuasa India, kata Wiyanto, menambah ia kelihatannya Nikalje akan dideportasi ke India.

Seorang jurucakap bagi Polis Persekutuan Australia mengatakan Interpol di Canberra telah memberi arahan pihak berkuasa Indonesia ‘yang menangkap Nikalje atas permintaan pihak berkuasa India’.

Polis persekutuan mengesahkan bulan lalu yang Nikalje menetap di Australia di bawah identiti lain dan telah berbincang dengan pihak berkuasa India, menurut jurucakap, namun tidak memberi butiran selanjutnya.

Laman web Interpol menyatakan Nikalje lahir di bandar Mumbai, India dan dikehendaki atas pelbagai tuduhan termasuk membunuh dan memiliki serta menggunakan senjata api haram.