Lelaki Indonesia dipenjara 3 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seorang lelaki warga Indonesia yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, dihukum penjara tiga bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret.

Matori, 35, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman atas tuduhan tinggal selama 672 hari sejak pas imigresennya mansuh pada 6 Mac 2016 sehingga dia diberkas pasukan penguat kuasa imigresen pada 8 Januari 2018 di sebuah rumah sewa di Jalan Ban 6, Kilanas.

Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

Siasatan mendapati tertuduh memasuki negara ini pada 14 Oktober 2014 menggunakan pas kerja di bawah syarikat pembinaan.

Pas kerjanya bagaimanapun dibatalkan pada 24 Februari 2016 dan diarahkan untuk meninggalkan negara ini sebelum 6 Mac 2016 tetapi tertuduh didapati gagal untuk berbuat demikian.