Lelaki Indonesia maut dihempap jejantas pejalan kaki

Lelaki Indonesia maut dihempap jejantas pejalan kaki

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) – Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap jejantas pejalan kaki yang dalam pembinaan di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.53 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya apabila anggota bomba tiba di lokasi, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita akan siasat puncanya, bagaimana struktur jejantas yang sedang dibina itu boleh runtuh,” katanya ketika dihubungi Bernama.