Lelaki Indonesia terima sebatan

Lelaki Indonesia terima sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi tiga bulan penjara dan tiga sebat ke atas seorang lelaki warga Indonesia kerana tinggal melebihi tempoh di Brunei Darussalam.

Kuswara, 47, mengaku bersalah tinggal selama 505 hari di negara ini selepas pas lawatannya mansuh pada 11 Februari 2015.

Kertas pertuduhan menyebut, defendan melaporkan diri ke bahagian penguatkuasaan imigresen pada 2 Julai 2016 berhubung pas imigresennya yang telah pun mansuh.

Siasatan dijalankan mendapati defendan kali terakhir memasuki negara ini pada 4 Februari 2015 dan diberikan pas melawat yang hanya sah sehingga 11 Februari.

Defendan mengaku menyimpan pasportnya dan tidak pernah meninggalkan negara ini selepas tarikh mansuh tersebut.

Selama berada di negara ini, dia bekerja sebagai pekerja bebas dan tinggal di rumah rakannya di Tasek Meradun.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin memerintahkan hukuman berkuat kuasa serta-merta.

ARTIKEL YANG SAMA