Lelaki Indonesia tinggal lebih tempoh, dipenjara

Lelaki Indonesia tinggal lebih tempoh, dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160531_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi 10 bulan penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah yang dibenarkan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain setelah Narin Narulan berusia 47 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17 dan dihukum di bawah Seksyen 12(2)(b) yang sama.

Hukuman bagi pesalah yang tinggal melebihi 90 hari di negara ini akan dikenakan pemenjaraan untuk tempoh yang tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dari dua tahun serta tidak kurang daripada tiga kali sebatan.

Dia didapati tinggal selama 1,403 hari di Brunei Darussalam.

Menurut keterangan kes, tertuduh diberkas oleh anggota penguat kuasa imigresen yang membuat operasi di sebuah rumah sewa di Kampung Sungai Tampoi pada 17 Mei 2016 sekitar jam 12:55 tengah malam.

Defendan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah sebaliknya memberitahu pasportnya telah pun diberikan kepada seseorang untuk tujuan melanjutkan tempoh pas.

Siasatan mendapati Narin Narulan memegang pas melawat dan memasuki Brunei Darussalam pada 1 Januari 2012 melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah dan dikeluarkan pas yang sah sehingga 14 Januari 2012 sahaja.

Pihak imigresen tidak mempunyai rekod bagi pembaharuan pas melawat defendan selepas tarikh tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA