Lelaki intai mandi, dipenjara 9 bulan

Lelaki intai mandi, dipenjara 9 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151102_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Gara-gara mengintai seorang pelajar perempuan yang sedang mandi, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi bin Abdul Rahman, 34, selepas mahkamah menyabitkannya selepas perbicaraan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara memanjat ke atas bumbung rumah teres melalui tingkap kediaman bapa saudaranya.

Mengikut fakta kes, mangsa adalah antara empat orang pelajar wanita yang menyewa di rumah teres berhampiran dengan institusi mereka belajar, manakala tertuduh tinggal bersama keluarganya tetapi sering mengunjungi kediaman bapa saudaranya yang terletak selang satu unit dengan tempat sewa mangsa.

Sekitar jam 9 pagi pada 21 April 2015, mangsa yang sudah terlewat terus bergegas untuk mandi, dan ketika mencuci rambutnya, dia merasakan seseorang sedang memerhatikannya.

Mangsa kemudian melihat ke arah tingkap kamar mandi dan terlihat bahagian kepala seorang lelaki.

Mangsa terus mengambil penyapu yang terletak di sudut kamar mandi untuk mencucuk lelaki itu, namun lelaki itu sudah pergi.

Mangsa kemudian menghubungi rakan serumahnya, yang terdahulu sudah pergi ke kelas masing-masing.

Rakan mangsa menghubungi polis dan siasatan membawa kepada tangkapan tertuduh. Ketika membuat pengecaman, mangsa terus mengenali tertuduh yang mana mereka saling mengenali.

Tertuduh sebelum kejadian cuba untuk menarik perhatian mangsa, tetapi tidak diendahkan.

Ketua Majistret mengarahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan, pada 22 Oktober 2015.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurjauinah binti Haji Kula.

ARTIKEL YANG SAMA