Lelaki Jepun tercekik selepas makan onigiri

Lelaki Jepun tercekik selepas makan onigiri

TOKYO, 22 Nov – Seorang lelaki berusia 28 tahun meninggal dunia di Jepun selepas tercekik ketika makan nasi kepal semasa pertandingan makan pantas, kata penganjur acara hari ini. Lelaki itu, yang namanya dirahsiakan, meninggal dunia pada 16 November di hospital tiga hari selepas tercekik, kata kerjasama petani tempatan yang menaja acara itu di barat bandar Hikone.

Para peserta bersaing untuk melihat siapa yang boleh memakan dengan cepat lima kepal ‘onigiri’ iaitu nasi kukus tempatan, makanan asasi Jepun.

Lelaki itu mengasak nasi kepalnya yang kelima ke dalam mulutnya sebelum jatuh pengsan dan dikejarkan ke hospital tempatan di mana dia kemudian disahkan meninggal dunia, kata penganjur.

Pertandingan itu dibahagikan kepada tiga set yang masing-masing terdiri daripada lima peserta.

“Kami dari set yang pertama dan kedua selesai dan sedang menyaksikan kumpulan ketiga apabila insiden itu berlaku,” kata pegawai dalam kerjasama itu, yang enggan untuk dinamakan.

Pertandingan makan merupakan acara yang sangat popular di pelbagai pesta serantau yang diadakan di Jepun untuk mempromosi hasil pengeluaran dan kebudayaan tempatan, seperti di negara-negara lain di mana kematian akibat tercekik juga pernah dilaporkan.

Peserta Jepun yang terkenal dalam pertandingan seumpamanya adalah Takeru Kobayashi, yang menang sebagai juara dalam pertandingan makan sosej tahunan di New York. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA