Lelaki kenya dicakar singa

Lelaki kenya dicakar singa

NAIROBI, 18 Mac (AFP) – Seorang lelaki tua warga Kenya telah dicakar oleh seekor singa yang merayau-rayau di sepanjang jalan sesak semasa waktu pagi yang sibuk di bandar Nairobi hari ini, kata pegawai hidupan liar.

Ia adalah kali ketiga dalam masa sebulan yang haiwan itu telah mengakibatkan kepanikan dengan merayau-rayau di luar Taman Negara Nairobi, taman simpanan seluas 117 km persegi (29,000 ekar) yang hampir dikelilingi oleh bandar yang semakin pantas berkembang dengan penduduknya lebih tiga juta orang.

Seorang lelaki berusia 63 tahun cedera apabila singa menjadi terganggu dan mencakarnya, kata jurucakap Khidmat Hidupan Liar Kenya (KWS), Paul Udoto.

“Orang ramai berada di sana, membunyikan hon, mengambil gambar dan semua perkara itu mengakibatkan singa tersebut merasa terganggu,” kata Udoto, menambah bahawa lelaki itu dibawa ke hospital dan dalam keadaan yang stabil.

Seekor singa dilihat merayau-rayau oleh para pengunjung di Taman Negara Nairobi di bandar Nairobi Kenya pada 12 Julai 2014. – Reuters
Seekor singa dilihat merayau-rayau oleh para pengunjung di Taman Negara Nairobi di bandar Nairobi Kenya pada 12 Julai 2014. – Reuters

Sejurus selepas itu, singa berkenaan dikembalikan ke taman, diikuti oleh renjer yang mendorongnya untuk pergi lebih jauh ke dalam hutan simpanan itu.

“Singa itu pulang dengan selamat namun pasukan kami masih lagi di lapangan jika ada haiwan lain yang belum lagi dapat dikesan berkeliaran di luar,” kata Udoto.

Dalam video yang dikongsi media sosial, para pemandu membunyikan hon mereka secara berterusan ke atas seekor singa jantan yang dilihat di sepanjang Jalan Mombasa, lebuh raya empat lorong yang sering mengalami kesesakan jalan raya di sebatang jalan utama bandar tersebut.