Lelaki letup hotel dipenjara seumur hidup

Lelaki letup hotel dipenjara seumur hidup

YANGON, 5 Julai (AFP) – Seorang lelaki Myanmar telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menanam bom yang meletup dua tahun lalu, di dalam sebuah hotel mewah di Yangon, yang mencederakan seorang wanita Amerika, lapor media kerajaan hari ini.

Myanmar dilanda siri-siri letupan kecil di seluruh negara pada Oktober 2013, yang disasarkan ke atas tempat pelancong ketika negara yang baru berkembang itu mengalami kemasukan pelancong asing ekoran peralihannya dua tahun sebelumnya daripada pemerintahan junta dan kemudiannya penarikan balik banyak sekatan barat. Mahkamah daerah barat Yangon pada Jumaat lalu mendapati Saw Myint Lwin bersalah menanam dua bom di pusat komersial, salah satunya ialah bom kecil yang meletup di dalam hotel mewah, Traders Hotel, lapor surat khabar Mirror.

“Saw Myint Lwin mengaku dia bertindak bersendirian,” lapor akhbar itu, tanpa menyatakan motif tindakan Saw Myint Lwin itu.

Wanita Amerika yang tidak dinyatakan namanya, telah dibawa ke hospital dengan mengalami kecederaan pada paha dan tangannya selepas letupan berlaku di sebuah bilik tetamu di hotel pusat bandar itu, yang sejak itu diberi nama semula dengan nama Sule Shangri-La. Dua lagi lelaki dibebaskan dari tuduhan menanam bom, lapor Mirror lagi.

Lelaki berusia 29 tahun itu diberkas beberapa hari selepas letupan itu dengan menurut pihak polis dia pernah menginap di bilik sama tempat bom itu ditanam.

Pada ketika itu, sebuah sumber tidak bernama dari kumpulan pemberontak Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) memberitahu AFP bahawa Saw Myint Lwin adalah anggota kumpulan itu dan dia mungkin tidak berpuas hati dengan rundingan damai yang sedang berjalan.

Tetapi kepimpinan KNU menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam letupan itu. Letupan agak lumrah berlaku di bawah kepimpinan junta, yang lazimnya menyalahkan kumpulan bersenjata dalam buangan atau pemberontak etnik dalang di sebalik letupan.

Para pelancong jarang sekali menjadi sasaran. Kerajaan kuasi-awam Myanmar dan kumpulan etnik bersenjata yang tidak terkira banyaknya masih dalam rundingan untuk menandatangani perjanjian gencatan bersenjata yang rumit.

ARTIKEL YANG SAMA