Lelaki Malays...

Lelaki Malaysia mengaku bersalah pindahkan wang tanpa isytihar

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Seorang lelaki warga Malaysia didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memindahkan wang, memiliki dadah dan memiliki peralatan mengambil dadah.

Ng Wook Quak, 48, mengaku bersalah atas dakwaan memindahkan wang AS$20,000 dari negara ini ke Malaysia tanpa membuat pengisytiharan mengenai pemindahan itu, yang mana ia melebihi jumlah $15,000 yang ditetapkan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 37(2) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 yang membawa denda tidak melebihi $50,000, penjara untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan memiliki 0.1868 gram methamphetamine dan memiliki peralatan mengambil dadah pada tarikh dan tempat yang sama.

Tertuduh ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 2 April 2014 oleh anggota polis yang bertugas sebaik menerima maklumat mengenai tertuduh yang disyaki terlibat dalam dadah.

Pemeriksaan yang dilakukan terhadap tertuduh menemukan bahan berhablur, peralatan untuk mengambil dadah dan wang AS$20,000.

Tertuduh mengakui memiliki dadah itu manakala wang itu adalah milik abangnya untuk tujuan membeli bahan projek.

Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 25 Februari untuk sebutan hukuman dan melepaskan tertuduh dengan ikat jamin $5,000 atau dua orang penjamin tempatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim.

ARTIKEL YANG SAMA