Lelaki mati lemas di laut berhampiran masjid

Lelaki mati lemas di laut berhampiran masjid

KOTA KINABALU, 14 Okt – Seorang lelaki ditemukan lemas di kawasan laut berhampiran Masjid Tanjung Aru Lama, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata mangsa berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital yang tiba di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati terdapat seorang penduduk yang melalui kawasan itu (lokasi kajadian) kira-kira pukul 9.15 pagi telah melihat mangsa seolah-olah sedang melambai-lambai meminta bantuan dari jarak kira-kira 70 meter.

“Penduduk itu kemudiannya bertindak menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya. Dengan bantuan seorang lagi penduduk yang berada di kawasan itu mangsa kemudiannya berjaya dibawa ke darat dengan menggunakan bot,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati mangsa bukan penduduk di kawasan berkenaan dan kejadian itu tiada unsur jenayah berikutan tiada kecederan yang dialami pada tubuh mangsa.

Chandra berkata mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat. – Bernama