Lelaki maut akibat dihempap pelajar bunuh diri

Lelaki maut akibat dihempap pelajar bunuh diri

SEOUL, 1 Jun – Seorang pelajar Korea Selatan yang bunuh diri dengan terjun dari apartmen 20 tingkat telah menghempap dan membunuh lelaki lain yang sedang berjalan pulang bersama isteri yang mengandung dan anak lelakinya, menurut laporan berita hari ini.

Lelaki berusia 38 tahun itu merupakan kakitangan kerajaan sedang pulang dari bekerja di bandar selatan Gwangju, kelmarin, apabila dia dihempap oleh pelajar berusia 25 tahun itu, menurut agensi berita Yonhap.

Lelaki itu berjalan kaki di samping isterinya yang mengandung lapan bulan dan anak lelakinya berusia lima tahun.

Kedua-dua lelaki berkenaan telah dikejarkan ke hospital berhampiran namun tiada yang terselamat, menurut Yonhap.

Agensi itu berkata, polis merancang untuk mendakwa pelajar yang mati itu menjadi penyebab kematian orang lain untuk memudahkan sebarang tuntutan insurans keluarga lelaki berkenaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA