Lelaki maut dalam tahanan polis cetus pertempuran

Lelaki maut dalam tahanan polis cetus pertempuran

BEAUMONT-SUR-OISE, Perancis, 21 Julai – Keganasan meletus di utara sub bandar Paris buat malam kedua berturut-turut, dengan 15 kenderaan dibakar oleh penduduk yang berang berhubung kematian seorang remaja lelaki semasa dalam tahanan polis, menurut para pegawai hari ini. Pergolakan itu bermula pada malam Selasa selepas Adama, 24, meninggal dunia sejurus selepas ditahan di bandar Beaumont-sur-Oise.

Lelaki berkenaan ditahan selepas masuk campur dalam penangkapan abangnya berkaitan kes peras ugut, menurut sumber dekat dengan siasatan itu.

Pendakwa tempatan Yves Jannier berkata Adama ‘pengsan semasa dalam perjalanan’ ke balai polis dan paramedik telah dipanggil namun tidak dapat menyelamatkannya.

Pada malam Selasa, lima anggota polis separa tentera cedera dalam pertempuran, dan sembilan kereta dibakar, sementara beberapa bangunan awam musnah. Seorang telah ditangkap.

Pergolakan itu berterusan pada malam Rabu dalam siri beberapa buah kampung yang terletak berhampiran 30km utara Paris, di mana 15 buah kereta telah dibakar dan para pembantah cuba untuk membakar pejabat datuk bandar dan sekolah tadika. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA