Lelaki maut dirempuh kenderaan di bahu jalan

Lelaki maut dirempuh kenderaan di bahu jalan

SARIKEI, 18 Julai – Seorang pemandu lori maut ketika sedang memasukkan muatan ke dalam lori di bahu jalan, selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai hilang kawalan di KM432 Jalan Betong-Sarikei-Meradong dekat sini, semalam.

Mangsa Lawrine Anak Song, 47, berasal dari RPR Tanjung Kidurong Fasa 2, Tanjung Kidurong, Bintulu, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sarikei.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa yang berdiri di bahu jalan sedang menyusun semula muatan barangan ke dalam lori dipandunya selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di jalan tersebut sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Mat Jusoh Muhammad, kelindan Mohammad Aidil Malek, 22, yang berada di atas lori tersebut ternampak kenderaan pacuan empat roda datang dari arah Sebangkoi dalam keadaan berpusing-pusing sebelum merempuh mangsa.

Katanya, keadaan jalan agak basah dan licin akibat hujan renyai-renyai dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama