Lelaki maut dirempuh kereta terbabas

Lelaki maut dirempuh kereta terbabas

SANDAKAN, 13 Jan (Bernama) – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Buli Sim-Sim berhampiran Pangkalan Polis Marin dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata mangsa Lakansa Landami meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian pukul 11:40 pagi itu.

Katanya ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah belakang dipandu lelaki berusia 59 tahun dipercayai terbabas ke arah kiri tepi jalan.

“Rempuhan mengakibatkan mangsa terseret beberapa meter ke hadapan,” katanya kepada pemberita.

Zabidi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.

Beliau meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nurwati Ismail di talian 08-9242254 bagi membantu siasatan.