Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Tawau

Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Tawau

TAWAU, 24 Julai – Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di rumahnya di perkampungan atas air Hidayat, Batu 4 di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada 6.26 petang dan tujuh anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian mangsa berada dalam keadaan terbaring di bawah rumahnya dan dipercayai telah meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya mangsa yang dikenali sebagai Mohd Aris Deleon, 34, dikatakan sedang mengumpul tin di bawah kolong rumah berkenaan sebelum terkena wayar elektrik yang dipasangkan di bawah rumah berkenaan.

“Menurut ahli keluarga, mangsa kurang siuman dan sudah menjadi kebiasaan memungut tin di bawah kolong rumah mereka,” katanya. – Bernama