Lelaki maut terkena renjatan elektrik sambungan haram

Lelaki maut terkena renjatan elektrik sambungan haram

SANDAKAN, 9 Okt (Bernama) – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tangannya masih memegang kabel elektrik di dalam belukar berhampiran Kampung Mangkalinau, Batu 3 dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Md Zain berkata mangsa yang belum dapat dikenal pasti identitinya dipercayai mati akibat terkena renjatan elektrik dari kabel yang disambung secara haram.

Katanya mayat ditemui penduduk kampung pada pukul 6.20 pagi terbaring di dalam parit.

“Siasatan mendapati kabel elektrik tempat mayat mangsa ditemui disambung secara haram melalui tiang elektrik utama di tepi jalan raya sejauh 100 meter dari situ,” katanya.

Menurutnya anggota teknikal Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kemudiannya digegaskan ke tempat kejadian untuk memutuskan kabel elektrik berkenaan.

Zabidi berkata mereka turut mengesan banyak aktiviti penyambungan secara haram di penempatan setinggan di kawasan itu.

ARTIKEL YANG SAMA