Lelaki mengaku bersalah cabul anak sendiri

Lelaki mengaku bersalah cabul anak sendiri

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Terdengar bisikan! Itulah alasan seorang pengawal keselamatan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan anak perempuannya apabila disoal hakim di Mahkamah Perantaraan, hari ini.

Bapa berusia 41 tahun itu didakwa mencabul kehormatan mangsa berusia 13 tahun dalam tiga kejadian berasingan di kediaman mereka di Tanah Jambu, pada 4 April 2016, sekitar April 2016 dan sekitar tahun 2014.

“Kenapa kamu melakukan kesalahan itu?” tanya Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain di mana tertuduh memberitahu bahawa dia tidak menyedari apa yang dilakukannya itu.

Tertuduh turut memberikan alasan bahawa dia terdengar bisikan yang mengarahkannya untuk melakukan perbuatan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354B Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi daripada 10 tahun, dan juga sebatan.

pg06_160419_mahkamah logo

Fakta kes daripada Pegawai Pendakwa Raya, Ali Amani Nokman menyebut, tertuduh mempunyai lima orang anak dan mangsa merupakan anak keempat.

Mangsa yang ketika itu tidur di bilik ibu bapanya terjaga sekitar jam 2:30 pagi pada 6 April apabila terasa seseorang cuba melakukan ‘perkara tidak senonoh’ dan mendapati orang itu adalah bapanya. Mangsa kemudian beralih dari kedudukannya.

Pada keesokan harinya, mangsa yang terganggu dengan apa yang berlaku, telah melaporkan perbuatan bapanya itu kepada gurunya.

Tertuduh diberkas pada hari yang sama sebaik laporan dibuat ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, di mana siasatan mendapati tertuduh sebelum ini pernah mencabul anaknya dalam dua kes berasingan di rumah mereka.

Hakim Pengiran Hajah Hanani menetapkan 27 April untuk sebutan hukuman dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman.

ARTIKEL YANG SAMA