Lelaki mengaku curi pakaian dalam wanita

Lelaki mengaku curi pakaian dalam wanita

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151130__mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Gara-gara mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di balkoni sebuah pangsapuri, seorang anggota tentera bakal mengetahui nasibnya pada 8 Disember ini.

Sld 50521 Muhammad Hafizul Hafiz @ Abdul Mueez bin Zulkifli, 22, mengaku bersalah di hadapan Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman, semalam, atas pertuduhan mencuri dua pasang pakaian dalam milik jiran kepada tunangnya dalam dua kejadian yang berasingan.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu kerana untuk meredakan keinginan seksualnya dan juga mengurangkan tekanan masalah keluarga.

Menurut fakta kes, pada 7 November sekitar jam 9 pagi, tertuduh berada di unit pangsapuri tunangnya yang terletak di tingkat dua yang mana dia kemudian naik ke tingkat tiga, dan mencuri sepasang pakaian dalam berwarna biru yang dijemur di balkoni.

Tertuduh membawanya balik ke kediaman tunangnya, dan menghidunya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Pemilik pakaian dalam yang menyedari baju dalamnya telah hilang terus memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), dan kemudian membuat laporan polis.

Tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan yang sama pada 26 November kira-kira jam 10:35 pagi apabila didapati mencuri pakaian dalam daripada pemilik yang sama.

Tertuduh menggunakan kayu yang telah dipasang dengan dawai dan pergi ke balkoni tersebut dan berjaya mencangkukkan pakaian dalam yang berwarna merah jambu dari penyangkut baju di tingkat atas.

Dia kemudian mengambil pakaian dalam itu dan menyimpannya di dalam kotak.

Keesokan harinya, suami kepada pemilik pakaian dalam itu memberitahu isterinya mengenai rakaman CCTV yang baru dilihatnya.

Mereka terus membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Dalam sebutan semalam, tertuduh merayu kepada mahkamah untuk diberikan peluang kerana dia mempunyai komitmen kewangan dan akan berkahwin pada Disember ini.

Pemangku Majistret Kanan melepaskan tertuduh dengan ikat jamin $1,200 atau seorang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA