Lelaki mengaku Nabi Isa bertaubat

Lelaki mengaku Nabi Isa bertaubat

JAKARTA, 2 Mac (Bernama) – Seorang guru agama di Indonesia yang mendakwa dirinya sebagai Nabi Isa dan sering menerima wahyu dari Tuhan telah bertaubat dan mengaku perbuatannya menyimpang dari ajaran Islam.

Gus Jari bin Supardi, 44, guru agama di Pondok Pesantren Kahuripan Ash-Shirot di Dusun Gempol, Desa Karangpakis, daerah Jombang di Jawa Timur, bertaubat dalam satu majlis di hadapan ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Jombang, Kholil Dahlan,

Beliau yang mendakwa dirinya sebagi Nabi Isa sejak 2004 dan mengaku menerima wahyu Illahi itu mempunyai lebih 100 pengikut dan mereka mengamalkan beberapa perbuatan syirik seperti membina makam Nabi Muhammad dalam sebuah masjid.

Gus Jari juga mendakwa sering mendengar bisikan di telinganya mengenai perintah Tuhan dan menganggap ia adalah bisikan malaikat yang membawa wahyu dan telah diperintah oleh Tuhan untuk membawa umat Islam ke jalan yang benar.

Media tempatan hari ini memetik Kholil sebagai berkata, Gus Jari bersama para pengikutnya telah menyatakan insaf atas kesesatannya selama ini dan bertaubat kembali ke ajaran Islam.

Katanya, MUI juga telah meroboh sebuah tugu diperbuat dari batu hitam dalam Masjid Pondok Pesantrian Kahuripan Ash-Shirot yang menjadi tempat pengikut ajaran sesat itu menjalankan upacara syirik dan kononnya sebagai simbol kenabian Gus Jari.

“Alhamdulillah, Gus Jari bersama jemaahnya telah bertaubat dan beliau sendiri memimpin anak sulung lelakinya sebelum ini diiktiraf sebagai Imam Mahdi untuk bertaubat,” kata beliau.

MUI kemudian mengeluarkan larangan kepada Gus Jari untuk mengajar dan menganjurkan majlis-majlis keagamaan.

Kisah penyebaran ajaran Gus Jari itu heboh diperkatakan oleh penduduk setempat sejak 10 tahun lepas dan pengikutnya didapati bertambah dari tahun ke tahun dan percaya bahawa lelaki itu adalah seorang nabi.

ARTIKEL YANG SAMA