Lelaki mengamuk dihadap ke mahkamah

Lelaki mengamuk dihadap ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret lewat petang tadi atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki.

Ahmad Nazilah bin Yusof, 26, didakwa menyebabkan kecederaan pada Mohammad El’fie Fahmy bin Mohd Zuleniesra berusia dua tahun dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau sekitar jam 5 petang pada 9 Jun 2015 di Dewan Kampung Pandan, Kuala Belait.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamaliah binti Haji Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa tertuduh ditangkap kira-kira jam 6:15 petang semalam, dan memohon kepada mahkamah untuk tertuduh menjalani penilaian psikiatri.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkan sebutan ditangguhkan selama dua minggu bagi membolehkan Unit Kesihatan Mental menjalankan ujian mental ke atas tertuduh, dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula.

Dalam insiden petang semalam, tertuduh yang bersenjatakan pisau jenis ‘jungle knife’ itu tiba-tiba muncul dan mencederakan seorang kanak-kanak di bahagian leher ketika bapanya sedang bermain sepak takraw di Dewan Kampung Pandan.

Tertuduh kemudian dikejar oleh orang ramai namun dia sempat mencederakan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun, juga di bahagian leher.

Dia kemudian berlari ke kawasan padang futsal di mana dia turut mencederakan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun di bahagian paha sebelum melarikan diri ke kawasan berdekatan.

Tertuduh bagaimanapun telah diserahkan kepada pihak polis oleh keluarganya.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan untuk rawatan kecemasan yang mana mangsa pertama telah menjalani pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mangsa kedua dan ketiga telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

ARTIKEL YANG SAMA