Lelaki mental tampar imam

Lelaki mental tampar imam

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) – Seorang lelaki dipercayai mengalami sakit mental bertindak menampar imam Masjid Negara Mohd Zuhairee Mohd Yatim ketika solat Jumaat hari ini.

Bilal bertugas Mohamed Shukri Che Yusoh, 23, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.45 petang apabila lelaki India berumur 31 tahun itu secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan menampar imam itu.

“Lelaki itu pada mulanya menolak imam yang sedang mengimamkan solat Jumaat pada rakaat pertama, apabila habis surah Al-Fatihah, dia cuba merampas mikrofon sebelum menampar sehingga menyebabkan Mohd Zuhairee berpaling ke belakang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan dipercayai bertindak sedemikian untuk mengimamkan solat Jumaat pada hari ini.

“Dia kemudiannya dibawa pergi oleh pihak pengurusan dan solat Jumaat dimulakan balik oleh Mohd Zuhairee,” katanya.

Mohamed Shukri berkata lelaki terbabit kemudian dibawa ke balai polis Dang Wangi kira-kira pukul 2 petang.

Menurut kenyataan Ketua polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama, lelaki tersebut mendakwa ada suara ghaib mahukan dia mengimamkan solat itu.

“Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental dan sering bercakap seorang diri,” katanya.

Zainol berkata lelaki itu telah ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan. Beliau menambah imam itu ditampar di sebelah pipi kanan dan telah menyebabkan mangsa mengalami sakit kepala akibat kesan tamparan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata laporan itu dibuat selepas memikirkan isu keselamatan.

“Jakim dan Masjid Negara sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis agar kes ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Jakim kesal kejadian itu berlaku dan berharap lelaki warga asing itu dibawa ke muka pengadilan berdasarkan kepada undang-undang negara.

Othman turut memuji komitmen Mohd Zuhairee yang tetap meneruskan tugas sebagai Imam Solat Jumaat dan Solat Hajat selepas insiden itu.

Dalam pada itu, Jakim menafikan adanya pergaduhan atau spekulasi berkaitan isu kandungan khutbah dan fahaman yang menyentuh pihak atau kumpulan tertentu.

ARTIKEL YANG SAMA