Lelaki M’sia didakwa membunuh

Lelaki M’sia didakwa membunuh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan- Seorang lelaki warga Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Kampung Jangsak.

Tertuduh, Jeromy Ling Leh Teck, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman. Tiada pengakuan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Jeromy didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Ling Koung Tien berusia 58 tahun antara jam 12 tengah hari dan 7 malam di sebuah rumah di Kampung Jangsak pada 4 Januari 2016.

pg01_150108_mahkamah logo

Pegawai Pendakwa Raya, Hajah Zuraidah binti Haji Sidek memohon mahkamah untuk tertuduh ditahan reman selama dua minggu di Balai Polis Pusat untuk membantu siasatan termasuk mengambil sampel DNA dan air kencing tertuduh, dan membawanya ke lokasi kejadian.

“Kenapa tahan reman mengambil dua minggu,” tanya Majistret Pengiran Shahyzul di mana Pegawai Pendakwa Raya memberitahu bahawa tertuduh baru diberkas pada pukul 7 malam tadi.

“Tempoh dua minggu adalah lama, dan untuk mengambil sampel DNA dan air kencing hanya mengambil masa 10 minit manakala menjalankan siasatan di lokasi kejadian tidak akan mengambil tempoh sehingga dua minggu,” kata Majistret Pengiran Shahyzul yang hanya membenarkan tertuduh ditahan reman selama seminggu dan menetapkan 14 Januari untuk sebutan seterusnya.

Jeromy dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa kepada hukuman mati, jika sabit kesalahan.