Lelaki M’sia ...

Lelaki M’sia dihukum gantung

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Seorang lelaki warga Malaysia dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki ganja untuk tujuan mengedar.

Muhammad Mustaqim Mustofa bin Abdullah, 23, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki 5,876.5608 gram ganja yang ditemui dalam dua beg pada 7 Mei 2014 sekitar jam 3:30 petang di Kampung Petani, Daerah Tutong.

Dia didakwa di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 yang mana kuantiti yang dimilikinya adalah lebih daripada 600 gram dan hukuman yang diperuntukkan adalah hukuman mati.

Dia juga berdepan dakwaan memiliki 8.4285 gram ganja untuk tujuan yang sama di Kampung Jerudong pada 8 Mei 2014 dan didakwa di bawah seksyen sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan 15 kali sebatan, minimum penjara lima tahun dan lima kali sebatan.

Keputusan hukuman mati itu dibuat oleh Yang Amat Arif Hakim Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli dan Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni selepas mendapati tertuduh bersalah atas tuduhan memiliki 5,876.5608 gram ganja.

Untuk tuduhan memiliki 8.4285 gram ganja, kedua-dua hakim memutuskan hukuman lima tahun penjara dan lima kali sebatan terhadap tertuduh.

Tertuduh ditahan pada 7 Mei 2014 dalam kereta mewah ketika berada di kawasan letak kereta di Bangunan Haji Abdul Malik dan Anak-anak, Kampung Petani, Daerah Tutong oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) yang bertindak sebaik menerima maklumat daripada orang ramai.

Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan tertuduh menemui dua beg yang mengandungi ganja.

Siasatan yang dijalankan di kediaman tertuduh di Kampung Jerudong pada keesokan harinya turut menemui ganja yang disimpan dalam paket plastik jernih.

Tertuduh mengaku membeli ganja itu dari Kuala Lumpur pada 5 Mei 2014 pada harga $7,500 di mana dia dan rakannya membawa masuk ganja itu ke negara ini melalui Miri dengan menyembunyikannya dalam plastik keropok Potato Crisps.

Tertuduh diwakili Peguam Ridzlan bin Haji Ibrahim manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani dan Sharon Yeo yang telah memanggil 16 orang saksi termasuk pegawai BKN dan dari Jabatan Perkhidmatan Saintifik untuk memberikan keterangan.

ARTIKEL YANG SAMA