Lelaki M’sia kena 3 tahun, 2 sebatan

Lelaki M’sia kena 3 tahun, 2 sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Seorang lelaki Malaysia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebat oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas disabit bersalah atas pertuduhan menadakan hubungan seks dengan budak perempuan bawah umur.

Ahmad Karim bin Mat Baraim yang berusia dalam lingkungan 40-an didakwa melakukan persetubuhan dengan seorang budak perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 6 Oktober 2011 sekitar jam 2:45 petang di sebuah rumah di Jalan Bengkurong Masin.

Fakta kes menyebut, mangsa ketika itu diambil oleh teman lelakinya dari sekolah agama, dan tertuduh pada masa itu turut berada di dalam kereta yang dipandu oleh teman lelaki mangsa.

Tiba di rumah mangsa, mangsa dan teman lelakinya kemudian mengadakan hubungan seks di dalam bilik.

pg06_150707_mahkamah logo

Ketika teman lelakinya pergi ke bilik mandi, tertuduh mengambil peluang untuk masuk ke bilik mangsa yang mana mangsa ketika itu dalam keadaan yang lemah.

Tertuduh mengambil kesempatan untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa meskipun mangsa cuba mengelak daripada didekati tertuduh.

Mangsa yang masih dalam keadaan lemah tidak mampu untuk menjerit meminta bantuan.

Selepas tertuduh pergi, mangsa memberitahu teman lelakinya bahawa tertuduh telah memaksanya untuk mengadakan hubungan seks dengannya.

Teman lelakinya dan tertuduh kemudian menghantar mangsa kembali ke sekolah.

Di sekolah, mangsa telah pengsan dan sebaik sedar, mendapati dirinya berada di dalam kereta bapa saudaranya sementara menunggu ketibaan bapanya yang akan membawa mangsa ke hospital.

Mangsa memberitahu bapanya bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki.

Terdahulu, Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abd Rahman berpendapat hukuman minimum dua tahun penjara yang diperuntukkan adalah tidak sesuai untuk kes sebegini, tambahan lagi tertuduh mengambil peluang ke atas mangsa ketika mangsa baru sahaja melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.

Malah, dua tahun penjara juga tidak memadai untuk memberi kesedaran kepada orang ramai daripada melakukan kesalahan itu, katanya.

Majistret memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa 1 Ogos, dan memberitahu tertuduh untuk membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan jika dia tidak berpuas hati dengan hukuman yang baru sahaja dijatuhkan.

ARTIKEL YANG SAMA